Isnin, 21 Februari 2011

TOLAK PAS DI KERDAU


Layakkah Pas ke Kerdau?
Oleh YUSRI SAHAT
pengarang@utusan.com.my


MUNGKIN tidak ramai yang menyedari bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sebelum ini dikenali sebagai DUN Sanggang. Jika namanya tidak diubah selepas persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2004, DUN Kerdau sebenarnya telah melalui dua kali pilihan raya kecil dalam tempoh 11 tahun.

Ketika itu, DUN Sanggang terletak dalam Parlimen Mentakab. Selepas persempadanan semula, DUN Sanggang diubah kepada DUN Kerdau dan diletakkan dalam Parlimen Kuala Krau. Parlimen Mentakab dimansuhkan dan kini hanya bertaraf DUN.

Uniknya dari segi politik, Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau tetapi dari segi geografi, ia berada dalam daerah Temerloh.

Berdasarkan statistik Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, DUN Kerdau (N.28) mempunyai 8,721 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 88.36 peratus atau 7,706 orang adalah pengundi Melayu, 455 pengundi Cina (3.6 peratus), India (3.4 peratus) dan 260 orang daripada lain-lain kaum (2.98 peratus).

Selain DUN Kerdau, tiga lagi DUN berada dalam Parlimen Kuala Krau yang disandang oleh Datuk Ismail Mohamed Said ialah Jenderak (N.27) dan Jengka (N.29) yang berkeluasan 13,214.5 hektar.

Berada kira-kira 20 kilometer dari bandar Temerloh, Kerdau mempunyai penduduk yang rata-ratanya menjalankan kegiatan pertanian kelapa sawit dan getah di bawah program Felda dan Felcra selain usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Terdapat tiga tanah rancangan dalam DUN Kerdau iaitu Felda Jengka 22, 23 an 25, selain mempunyai beberapa penempatan Orang Asli.

Mengikut rekod, pilihan raya kecil yang pertama bagi DUN Kerdau ialah pada 2000 apabila penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Abdullah Kia meninggal dunia.

BN berjaya mengekalkan kerusi apabila calonnya, Datuk Redzwan Harun yang memperoleh 6,743 undi menewaskan pencabarnya, Hishamuddin Yahya yang ketika itu merupakan Bendahari Pas, dengan majoriti 1,963 undi.

Pada PRU 1999, Abdullah menewaskan pencabarnya yang juga daripada Pas, Abdul Rahim Abdul Latif dengan majoriti 1,038 undi.

BN sekali dicabar oleh Pas pada PRU 2004 yang menyaksikan parti memerintah itu mengekalkan penguasaannya di DUN Kerdau selepas Redzwan menewaskan calon Pas, Dr. Abu Bakar Mohamed dengan majoriti yang tinggi iaitu 2,565 undi.

Bagaimanapun, Redzwan yang menyandang kerusi itu selama dua penggal, digugurkan apabila BN mempertaruhkan muka baru pada PRU 2008 iaitu Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan majoriti yang agak rendah iaitu 1,615 undi selepas menewaskan Ketua Penerangan Pas Pahang, Hasanuddin Salim.

Perkembangan terkini menyaksikan DUN Kerdau sekali lagi terpaksa melalui pilihan raya kecil selepas kematian Zaharuddin pada 12 Februari lalu.

Berdasarkan PRU dan PRK yang dilalui di DUN Kerdau atau Sanggang sebelumnya, BN terus diberi mandat oleh pengundi meskipun jumlah majoritinya mengalami pasang surut.

Kemerosotan majoriti undi BN di DUN Kerdau banyak bergantung kepada isu semasa di peringkat nasional. Ketika tsunami politik melanda tanah air, BN masih mampu mempertahankan DUN Kerdau walaupun majoriti undinya merosot berbanding keputusan PRU 2004.

Bagaimanapun kini, tsunami politik itu telah pun berlalu. Boleh dikatakan tiada isu besar yang boleh membakar semangat rakyat untuk tidak menyokong kerajaan.

Sebaliknya, parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus dilanda krisis sama ada di peringkat parti mahupun di negeri yang diperintahnya.

Dalam soal pemilihan calon di PRK Kerdau ini juga, pakatan pembangkang masih belum mencapai kata putus apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu mesyuarat khas diadakan di kalangan parti sekutunya untuk menentukan calon yang bakal bertanding.

Sedangkan, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah pun menegaskan bahawa parti itu akan mengumumkan calonnya pada Khamis ini.

Dalam soal ini, parti-parti komponen BN tidak berdepan masalah apabila calon daripada UMNO akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok atau lusa.

Berdasarkan keadaan politik semasa, BN dilihat berpeluang untuk mempertahankan kerusi DUN Kerdau pada PRK kali ini. Persoalannya ialah sejauh mana kemampuan BN untuk mempertingkatkan jumlah majoriti yang diraih berbanding PRU 2008.

Prestasi cemerlang pada PRU 2004 tidak mustahil dicapai jika BN menerusi Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob yang dilantik sebagai Pengarah PRK BN bagi DUN Kerdau, bekerja keras bagi memastikan matlamat itu dicapai.

Bagi BN, PRK DUN Kerdau adalah maruah sebenar parti itu kerana ia terletak di negeri kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib pastinya tidak mahu kecewa untuk melihat PRK di negerinya kecundang. Kemenangan BN dengan majoriti di bawah 2,000 undi pada PRU 2008 masih belum terjamin untuk mengekalkan kerusinya di Kerdau jika tanpa usaha jitu daripada keseluruhan jentera parti.

Peluang ini juga dianggap masa terbaik untuk pakatan pembangkang yang selama ini beria-ia mahu merampas Pahang dalam pilihan raya akan datang selepas berjaya berbuat demikian terhadap Kedah dan Pulau Pinang.

Jika tidak, masakan Tuan Ibrahim sanggup melepaskan jawatannya sebagai Pengarah PRK BN bagi DUN Merlimau untuk beralih memberi perhatian sepenuhnya di Kerdau. Malah, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang disebut-sebut bakal bertanding untuk merebut kerusi DUN Kerdau pada 6 Mac ini.

Dua lagi yang turut disebut-sebut untuk dicalonkan ialah Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi dan Hassanuddin.

Penyenaraian calon-calon terbabit yang dianggap pemimpin kanan Pas itu membuktikan DUN Kerdau bukan tempat latihan bagi parti itu sebagaimana tanggapan mereka terhadap PRK DUN Merlimau.

Semua ini memberi mesej supaya BN tidak boleh memandang rendah kepentingan DUN Kerdau. Meskipun begitu, Pas juga perlu melalui ranjau yang sukar untuk memenangi hati pengundi di Kerdau memandangkan hampir tiada isu besar yang boleh dibangkitkan oleh parti itu dalam kempennya nanti.

Sekiranya terdesak, Pas bersama pakatan pembangkang yang lain mungkin terpaksa menggunakan taktik kotor dengan melakukan serangan peribadi terhadap pemimpin BN.
Rekod Pas juga tidak cemerlang dalam 15 PRK yang berlangsung sejak 2008 apabila mengalami kekalahan berturut-turut di DUN Bagan Pinang, Galas dan Tenang yang mula dipertikai rakan sekutunya.

Daripada 15 PRK sejak tiga tahun lalu termasuk di DUN Merlimau pada 6 Mac ini, Pas menyertai lapan PRK manakala PKR dan DAP masing-masing enam dan satu.

Berdasarkan rekod buruk itu, PKR turut mengintai peluang untuk meletakkan calonnya di Kerdau. PKR juga tidak miskin dari segi calonnya memandangkan parti itu mempunyai pemimpin tempatan terutama Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Suhaimi Said.

Di sebalik dilema yang dihadapi pakatan pembangkang, kerajaan BN pula memiliki rekod cemerlang di Kerdau apabila 85 peratus kawasannya telah dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan jalan raya.

Bagaimanapun, seperti di tempat lain termasuk di negeri yang diperintah pembangkang, beberapa isu masih lagi berlegar di Kerdau yang membabitkan soal pentadbiran seperti soal tanah, penempatan, infrastruktur dan masalah bayaran tanam semula di tanah rancangan Felda.

Antara yang perlu diberi perhatian ialah isu penempatan kaum India di tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di pekan Kerdau.

Isu itu sebenarnya sedang dalam proses penyelesaian tetapi ia memerlukan masa dan agak rumit kerana ia membabitkan pengambilan tanah dan soal teknikal yang lain.

Begitu juga dengan isu tanah perkuburan Cina yang dipohon oleh penduduk Tionghua yang selama in terpaksa mengebumikan mayat di Temerloh yang agak jauh.

Permohonan penduduk untuk menggantikan Masjid Kampung Ketam yang serba uzur juga perlu diberi perhatian serius.

Bagi masyarakat Melayu luar bandar yang sebahagian besarnya bergantung hidup dengan hasil getah dan sawit, dewasa ini dianggap sebagai era keemasan berikutan kenaikan harga komoditi itu di pasaran.

Kebanyakan mereka kini berpendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 apabila harga getah mencecah sehingga RM17 sekilogram.

Bagi wakil rakyat BN yang bakal meneruskan kesinambungan perjuangan parti, isu-isu yang ditinggalkan oleh Allahyarham Zaharuddin perlu diteruskan.

Sesiapa sahaja yang dicalonkan nanti perlu membuktikan bahawa BN merupakan parti yang benar-benar mampu membela kebajikan rakyat di DUN Kerdau.

Muhyiddin akan mengumumkan calon BN yang bakal menggalas tanggungjawab untuk bertanding pada PRK DUN Kerdau pada 6 Mac ini.

Ada yang dengan berani meramalkan bahawa Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar iaitu Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Syed Ibra bakal dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Kerdau.

Namun apa yang penting, pucuk pimpinan lebih bijak memilih calon yang layak berasaskan kriteria yang ditetapkan terutama dari segi kemesraannya dengan pengundi yang boleh memberi kejayaan kepada parti.

Jika Pas bakal meletakkan 'jeneral,' BN juga perlu mencalonkan seorang tokoh yang mampu disenangi rakyat dan mempunyai latar belakang agama yang ampuh bagi meruntuhkan 'keangkuhan' pemimpin parti pembangkang itu yang kononnya amat arif dalam hukum hakam ajaran Islam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan