Isnin, 21 Februari 2011

FATWA BARU PAS : UMNO SALAHGUNA DEMOKRASI

Nik Aziz tolak saranan Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak saranan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) yang memintanya merujuk Surah Abasa berhubung kerjasama antara Islam dengan bukan Islam.
Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya menyifatkan Zulkifli sebagai seorang pengkhianat dan tidak layak memintanya berbuat demikian.
"Kalau saranan itu daripada orang lain, saya mungkin boleh terima tetapi bukan Zulkifli yang hanya pandai membuat kacau-bilau termasuklah kepada kawasannya. Dia juga khianat kepada saya.
"Oleh itu, dia bukanlah Yang Berhormat kerana mengikut pepatah Mesir, orang seperti Zulkifli itu mempunyai ulat dalam otaknya," katanya pada sidang akhbar di Rumah Sri Kelantan di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz mengulas saranan Zulkifli yang mahukan Menteri Besar Kelantan itu merujuk surah tersebut terlebih dahulu yang meminta supaya mendahulukan seorang Muslim berbanding penganut agama lain dalam kerjasama.
Nik Abdul Aziz berkata, saranan Zulkifli itu boleh menjejaskan sokongan bukan Islam terhadap perjuangan Pas selama ini.
"Saya bimbang sokongan bukan Islam terhadap Pas akan merosot apatah lagi kami kini mempunyai kelab penyokong daripada mereka.
"Kenyataan sebenar saya adalah orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana mereka merupakan bangsa terawal di Tanah Melayu yang menerima Islam," katanya.
Mengulas kemungkinan Pas akan mengalami kekalahan kali keempat berturut-turut dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau bulan depan, beliau berkata:
"Saya meminta orang Melayu sokong pembangkang kerana dalamnya ada Pas yang berjuang untuk Islam.
"Jika Pas hilang sokongan orang Melayu, ini adalah kerana UMNO yang menyalahgunakan demokrasi," katanya.
Menurutnya, pembangkang hanya berpeluang mengadakan kempen sewaktu pilihan raya sedangkan UMNO mendominasi media setiap hari dan tindakan itu tidak adil.
"UMNO salah dunia dan akhirat kerana mereka menyalahgunakan demokrasi dan tidak mustahil apa yang menimpa Mesir akan berlaku di Malaysia ekoran perbuatan UMNO ," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen